POLIS BERJAYA TANGKAP SUSPEK UTAMA MACAU SCAM YANG LARI DARI SPRM

KUALA LUMPUR: Suspek utama kes Macau Scam Alvin Goh Leong Yeong yang melarikan diri daripada ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya ditangkap polis awal pagi tadi.

Tangkapan itu dibuat selepas suspek diburu selama 15 hari oleh polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan di sebuah hotel di luar Lembah Klang, bersama seorang wanita kira-kira jam 1 pagi tadi.

“Alvin yang berstatus ‘wanted’ akan disiasat di bawah Seksyen 4 (1)(C) Akta Judi Terbuka 1953.

“Selepas tindakan itu diambil, Alvin Goh akan ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA),” katanya.

Sebelum ini, suspek dilaporkan memanjat pagar dengan bantuan dua pengawal peribadi yang sudah bersedia bersama sebuah kereta yang menunggu di tepi jalan.

Dia berjaya meloloskan diri daripada tangkapan polis yang sedang menunggunya di pintu pagar utama bangunan SPRM pada hari kejadian. –AlHijrah Online

Leave a Reply