PKPB: 71 SURAU DI WILAYAH PERSEKUTUAN DIBENAR LAKSANA SOLAT JUMAAT, JAWI BENARKAN AKAD NIKAH BERMULA HARI INI

KUALA LUMPUR: Penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menerima khabar gembira hari ini apabila 71 buah surau kini dibenarkan untuk menganjurkan solat Jumaat secara sementara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, kebenaran itu diberikan dengan bersyarat iaitu 50 orang jemaah maksimum dan bergantung dengan keluasan surau terbabit.

“Alhamdulillah, baru-baru ini sejumlah 71 buah surau telah diberi kebenaran menunaikan Solat Jumaat dalam tempoh PKPB atau PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Jumlah maksimum adalah 50 orang jemaah dengan penjarakan fizikal. Jumlah maksimum tersebut juga adalah bergantung mengikut keluasan surau.

“Jumlah surau ini akan ditambah dari semasa ke semasa, berdasarkan kelulusan Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Selain itu, Zulkifli hari ini turut mengumumkan kebenaran akad nikah ketika PKPB di Wilayah Persekutuan bermula 27 Oktober 2020.

“Akad kahwin dibenarkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sahaja bertempat di pejabat JAWI dengan SOP PKPB bermula 27 Oktober 2020 (hari ini).

“Ianya melalui temujanji dan penggiliran serta jumlah kehadiran tidak melebihi 10 orang. Wilayah Persekutuan Labuan tidak dibenarkan buat masa ini kerana kebanyakan kawasan masih berada dalam Zon Merah,” katanya.

Jelas Zulkifli kerajaan melalui pihak berkuasa agama negeri sentiasa berusaha memenuhi hasrat umat Islam terutamanya berkaitan syiar agama seperti solat Jumaat serta akad nikah dengan syarat mematuhi SOP yang ditetapkan. — AlHijrah Online

Leave a Reply