IPOH: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang tular videonya memegang parang ketika di dalam kereta.
Video berdurasi lebih seminit itu juga menunjukkan lelaki terbabit yang memandu kereta Honda Civic bersikap tidak senonoh dengan menunjukkan jari tengah.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, video terbabit dirakam pada 15 Januari lalu namun hanya dimuat naik hari ini.
“Video itu sedang disiasat dan individu terlibat telah dikenal pasti. Walaupun parang tidak digunakan sebagai senjata, perbuatan itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan netizen,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, hari ini.
Kejadian dipercayai berlaku di Pekan Baru, Ipoh dan setakat ini, Abang Zainal Abidin memaklumkan satu laporan polis telah diterima berkaitan perkara itu dan siasatan sedang dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.—AlHijrah Online