POLIS TAHAN LIMA LELAKI DISYAKI ROGOL PELAJAR SEKOLAH

KLANG: Lima lelaki termasuk pelajar sekolah ditahan polis semalam, selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun pada bulan lalu.

Kesemua suspek berusia antara 16 hingga 21 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar daerah Klang, kira-kira jam 1 pagi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata, polis menahan kesemua suspek selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat ibu mangsa pada jam 8.52 malam kelmarin.

Siasatan polis mendapati remaja yang merupakan pelajar sekolah itu dibawa seorang rakan perempuannya ke sebuah rumah di daerah ini kira-kira jam 8 malam 12 Ogos lalu.

“Mangsa kemudian didakwa dirogol abang rakannya itu bersama empat lagi lelaki yang baru dikenali.

“Keluarga mangsa yang menyedari perkara itu kemudian tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya seperti dilapor Kosmo, hari ini.

Ujar Vijaya, hasil ujian air kencing ke atas semua suspek didapati negatif dadah dan kesemua mereka direman selama lima hari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 375 (B) Kanun Keseksaan iaitu rogol berkumpulan.—AlHijrah Online

Leave a Reply