PPJ ANJUR BACAAN YASIN, DOA COVID-19 SEGERA BERAKHIR

PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) menerusi Kumpulan Pegawai Muda PPj akan menganjurkan Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat & Tadabbur Surah Yasin Peringkat Putrajaya secara maya pada 1 Julai 2021, jam 7.45 malam.

Majlis itu dibuat dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan masjid-masjid serta surau-surau di Putrajaya.

Pengarah Komunikasi PPj Tengku Aina Tengku Ismail Shah berkata majlis itu diadakan bertujuan memohon perlindungan Allah SWT agar Malaysia serta Putrajaya khususnya diakhiri segera dari musibah pandemik COVID-19.

“Majlis ini turut mendoakan kesejahteraan rakyat dari segi kesihatan fizikal dan mental serta diberi kekuatan kepada para barisan hadapan yang kini sedang berjuang mendepani pandemik seterusnya kesembuhan pesakit COVID-19.

“Bacaan yasin dipimpin oleh Imam Besar Masjid Putra Putrajaya, Ustaz Ikmal Zaidi Hashim di Kompleks Islam Putrajaya dan akan dibaca serentak di Masjid Putra Putrajaya, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Masjid Mahmoodiah Putrajaya, Masjid Negara Kuala Lumpur serta surau-surau di Putrajaya bermula 7.45 malam dan disiarkan secara langsung melalui laman Facebook agensi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau turut serta di dalam majlis itu adalah Presiden PPj, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, Imam besar Masjid Negara Kuala Lumpur, Ehsan Mohd Hosni, Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Ustaz Nor Azamir Alias, naib-naib Presiden PPj, pegawai kanan JAKIM serta JAWI dan Majlis Perwakilan Penduduk Putrajaya.

“Semoga majlis bacaan yasin dan doa dapat memberikan lagi semangat serta perpaduan kita mendepani pandemik dan kesejahteraan berpanjangan kepada semua rakyat Malaysia,” katanya. – AlHijrah Online

Leave a Reply