Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

RAFIZI DEDAH ISTERI TERIMA MESEJ UGUTAN SELEPAS ANAK DISERANG

DALAM NEGARA

RAFIZI DEDAH ISTERI TERIMA MESEJ UGUTAN SELEPAS ANAK DISERANG

Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli berkata ugutan itu diterima isterinya pada 1.12 pagi dan 11.02 pagi hari ini, masing-masing mengandungi ancaman “diam, andai teruskan AIDS” serta emoji picagari, daripada nombor telefon yang sama.

Rafizi Ramli (BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan isterinya menerima ugutan pagi tadi susulan insiden melibatkan anak lelakinya yang disuntik individu tidak dikenali semalam, yang kini sedang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata ugutan itu diterima isterinya pada 1.12 pagi dan 11.02 pagi hari ini, masing-masing mengandungi ancaman “diam, andai teruskan AIDS” serta emoji picagari, daripada nombor telefon yang sama.

“Saya ingat perkara ini (ugutan kepada ahli keluarga) akan berterusan kerana pada hemat saya, mesej strateginya ialah disebabkan saya ini selalunya tidak makan saman. Maksudnya, kes saman pun saya dah lalui, lokap pun saya dah lalui, hilang jawatan atau apa sahaja saya tidak ambil peduli.

“Jadi, saya fikir mereka yang terbabit ini merasakan mungkin lebih mudah mempengaruhi keputusan saya kalau melalui isteri,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Memberikan perkembangan situasi terkini anaknya, Rafizi berkata pemeriksaan awal di Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak menunjukkan kesan sampingan dalam tempoh 24 jam pertama, sekali gus memberikan keyakinan untuk menolak kemungkinan suntikan berbentuk dadah atau racun.

Bagaimanapun, katanya, ujian darah berkala selama enam bulan perlu dilakukan bagi memastikan tiada jangkitan berasaskan virus seperti hepatitis atau HIV, memandangkan hanya ujian susulan dapat memberikan pengesahan sepenuhnya.

Beliau berkata suntikan itu berkemungkinan mengandungi dadah atau racun, berbentuk virus, atau hanya cecair kosong, namun tanpa jarum suntikan yang dibawa lari suspek, kandungannya tidak dapat dikenal pasti dengan segera.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 2 petang di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, ketika mangsa seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan berada bersama-sama ibunya dan pemandu mereka. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading