RAIH BANYAK PUJIAN DAN KOMEN POSITIF, AKADEMI QURRA’ KEMBALI UNTUK MUSIM KEDUA

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan meraih 4.4 juta tontonan pada musim pertama siarannya, Akademi Qurra’ kembali untuk musim kedua bermula 20 Januari 2024 di TV AlHijrah.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata Akademi Qurra’ 2024 menjanjikan kualiti kandungan yang semakin baik dengan peserta-peserta dipilih melalui jelajah uji bakat yang dibuat di beberapa lokasi.

“Uji bakat hibrid yang berlangsung hampir sebulan Disember lalu, menyaksikan 12 orang qari qariah berbakat, lingkungan usia 18 hingga 35 tahun dipilih sebagai role model yang berpotensi mentarbiah serta melahirkan masyarakat penonton yang cintakan al-Quran dan seni persembahannya.

“Peserta Akademi Qurra’ 2024 turut terdiri daripada golongan profesional seperti doktor dan jurutera yang menjadi bukti pada musim lalu program ini berjaya menarik minat penonton dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang,” katanya dalam sidang media Program Pembuka Tirai 2024 TV AlHijrah.

Akademi Qurra’ 2024 bakal ditayangkan pada setiap Sabtu, jam 9 malam di TV AlHijrah.

Sementara itu Namanzee berkata dua mudarrisah baru diperkenalkan iaitu Mudarrisah Suhailah Zulkifly serta Mudarrisah Nadia Hashim, manakala Mudarris Amar Mukhlis dikekalkan.

Raqib Majid pula menggalas tanggungjawab sebagai pengacara baharu program tersebut.

Penerbit Eksekutif Akademi Qurra’ Saifulizan Mohd Lizah berkata pada musim pertama program tersebut, kira-kira 99 peratus penonton memberikan reaksi yang positif dan berharap rancangan mengangkat martabat al-Quran itu diterbitkan setiap tahun.

“Setiap kali siaran langsung Akademi Qurra’ kita terima banyak pujian. Jadi kita percaya program ini memberi kesan kepada penonton dan diharapkan pada musim kedua ini lebih banyak manfaat dapat diterima.

“KIta juga amat berharap, program ini menjadi inspirasi untuk penonton terus mencintai kitab suci al-Quran dan mengamalkan ajaran Allah SWT,” katanya.

Pada musim lalu Tilmiz Fahmi atau Muhamad Nurfahmi Zainal dinobatkan sebagai Johan Akademi Qurra’ dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM25,000. — AlHIjrah Online

Leave a Reply