Connect with us

ALHIJRAH NEWS

RCI TH: TABUNG HAJI MESTI TERUS DIPERTAHANKAN SEBAGAI INSTITUSI ISLAM BERWIBAWA

DALAM NEGARA

RCI TH: TABUNG HAJI MESTI TERUS DIPERTAHANKAN SEBAGAI INSTITUSI ISLAM BERWIBAWA

WADAH percaya bahawa pendedahan laporan RCI ini perlu menjadi titik mula kepada reformasi institusi yang lebih menyeluruh. Ketelusan tidak harus berhenti pada pendedahan laporan semata-mata, tetapi mesti diterjemahkan melalui tindakan susulan yang tegas, pembaikan sistem dan pendakwaan yang adil sekiranya wujud kesalahan.

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mesti terus dipertahankan sebagai institusi Islam yang berwibawa, berintegriti dan diyakini oleh rakyat, susulan keputusan kerajaan menyahklasifikasikan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung institusi itu.

Setiausaha Agung Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Azizuddin Ahmad berkata keputusan Jemaah Menteri untuk mendedahkan laporan berkenaan merupakan langkah penting dalam memperkukuh ketelusan, akauntabiliti serta tadbir urus yang baik demi memelihara keyakinan pendeposit dan bakal jemaah haji.

Pihaknya turut menyokong keputusan kerajaan untuk membentangkan dan membahaskan laporan tersebut dalam satu sidang khas Dewan Rakyat kerana perbahasan secara terbuka dan bertanggungjawab amat penting bagi memastikan rakyat mendapat kefahaman yang jelas berasaskan fakta, bukan spekulasi, sentimen politik atau persepsi yang tidak lengkap.

“WADAH percaya pendedahan laporan RCI ini perlu menjadi titik mula kepada reformasi institusi yang lebih menyeluruh. Ketelusan tidak harus berhenti pada pendedahan laporan semata-mata, tetapi mesti diterjemahkan melalui tindakan susulan yang tegas, pembaikan sistem dan pendakwaan yang adil sekiranya wujud kesalahan.

“WADAH mendesak agar segala dapatan dalam laporan tersebut diteliti secara serius oleh badan-badan penguat kuasa.
Sekiranya terdapat unsur salah laku, kecuaian, penyelewengan, pelanggaran amanah atau pelanggaran undang-undang, pihak yang bertanggungjawab mestilah dibawa ke muka pengadilan tanpa mengira kedudukan, pengaruh atau latar politik,” menurut kenyataan itu.

WADAH berkata TH bukan sekadar sebuah institusi kewangan, sebaliknya institusi amanah umat yang dibina atas kepercayaan rakyat serta simpanan pendeposit untuk menunaikan ibadah haji.

Sehubungan itu, sebarang kelemahan tadbir urus yang pernah berlaku perlu dijadikan pengajaran bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa hadapan.

Dalam pada itu, WADAH turut mengambil maklum bahawa sebahagian besar syor penambahbaikan yang dikemukakan telah dilaksanakan oleh pengurusan tertinggi TH.

Ujarnya, perkembangan tersebut wajar dihargai namun tidak seharusnya menutup keperluan memastikan akauntabiliti penuh terhadap sebarang keputusan lampau yang menjejaskan integriti institusi berkenaan.

WADAH turut menggesa kerajaan dan pengurusan TH supaya terus memperkukuh kerangka tadbir urus, pemantauan risiko, pematuhan syariah, ketelusan pelaburan serta komunikasi awam kepada pendeposit bagi mengukuhkan semula keyakinan rakyat terhadap institusi itu.

“WADAH menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan isu ini secara sempit. Fokus utama mestilah kepada pemulihan institusi, perlindungan kepentingan pendeposit, penegakan keadilan dan pembinaan semula kepercayaan awam terhadap Tabung Haji.

“WADAH percaya bahawa pendedahan laporan RCI ini perlu menjadi titik mula kepada reformasi institusi yang lebih menyeluruh. Ketelusan tidak harus berhenti pada pendedahan laporan semata-mata, tetapi mesti diterjemahkan melalui tindakan susulan yang tegas, pembaikan sistem dan pendakwaan yang adil sekiranya wujud kesalahan,” tambahnya.—AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading