REMAJA PALESTIN SYAHID DITEMBAK ZIONIS ISRAEL

AQABAT JABR: Seorang remaja Palestin syahid selepas ditembak rejim Zionis Israel, semalam, dalam serbuan di kem pelarian berhampiran Jericho, Tebing Barat.
Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan, Mohammed Fayez Balhan, 15, maut selepas ditembak di bahagian kepala, dada serta perutnya.
Dalam kejadian yang sama, dua rakyat Palestin turut cedera akibat terkena peluru yang dilepaskan tentera negara haram itu.
Sementara itu, tentera Israel yang beroperasi di kem Aqabat Jabr berhampiran Jericho tidak memberikan sebarang respon berhubung kejadian.
Terdahulu, pertempuran berlaku selepas tentera Israel bertindak menyerbu kem tersebut sebelum mengepung beberapa rumah dan menangkap lima individu di kawasan itu.
Seperti siri-siri keganasan sebelum ini, konflik Palestin-Israel sering memuncak terutama bila tibanya bulan Ramadan, penduduk negara haram itu tidak serik melakukan kekacauan khususnya di Masjid al-Aqsa.–AlHijrah Online