SARANAN BACAAN QUNUT NAZILAH PADA RAKAAT TERAKHIR SOLAT FARDU SELAMA SEBULAN

Gambar Hiasan. – Bernama

KUALA LUMPUR: Semua surau dan masjid di seluruh negara diajak untuk melaksanakan bacaan Qunut Nazilah pada rakaat terakhir setiap kali solat fardu selama sebulan.

Seruan itu dibuat Jabatan Pengajian Qur’an & Sunnah, AbdulHamid AbuSulayman Kulliyyah Ilmu Wahyu & Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Dalam menghadapi minggu-minggu mendatang, serangan pengganas Zionis-Israel yang dijangka akan makin mengganas, Jabatan Pengajian Qur’an & Sunnah, UIAM ingin menyeru masjid-masjid dan surau-surau utama di semua kampus UIAM seluruh negara, autoriti agama melalui semua Majlis dan Jabatan Agama Islam serta seluruh institusi pendidikan di Malaysia agar menetapkan semula pelaksanaan pembacaan qunut nazilah di rakaat terakhir pada setiap solat fardu selama sebulan.

“Pembacaan Qunut Nazilah dalam setiap solat fardhu dalam satu jangka masa ketika umat Islam sedang ditimpa musibah seperti peperangan adalah tuntutan Sunnah Nabi Muhammad SAW.

“Hal itu direkodkan oleh al-Imam al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari apabila Nabi Muhammad SAW mendoakan keburukan keatas Ri’il, Dzakwan, Usayyah dan Bani Lahyan kerana mereka membunuh para penghafaz Qur’an dan mengkhianati Nabi Muhammad SAW. Ia dilakukan selama sebulan dipenghujung setiap solat fardhu,” kata Jabatan Pengajian Qur’an & Sunnah UIAM dalam kenyataan hari ini.

Jabatan itu menyeru umat Islam menghidupkan Sunnah Nabi Muhammad SAW dalam memohon kemenangan dan keselamatan rakyat Palestin bersama segala usaha solidariti yang termampu sama ada melalui saluran diplomatik, bantuan kewangan, kemanusiaan mahupun sebaran kesedaran dan penerangan.

UIAM sentiasa bersama perjuangan rakyat Palestin dalam membebaskan tanah air yang dijajah dan menegaskan hak mempertahankan diri mereka dalam menghadapi penjajah Zionis-Israel dan jabatan itu memuji ketegasan Kerajaan Malaysia dalam komitmen menyokong perjuangan rakyat Palestin tanpa berbelah bahagi dan tidak apologetik. — AlHijrah Online

Leave a Reply