SEKOLAH SELURUH NEGARA DITUTUP BERMULA 9 NOVEMBER – RADZI JIDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan mengumumkan penutupan sekolah seluruh negara bermula 9 November hingga hari akhir persekolahan untuk tahun ini iaitu 17 Disember 2020 bagi negeri kumpulan A dan 18 Disember 2020 bagi negeri kumpulan B. 

Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata penutupan itu termasuk kolej vokasional di seluruh negara.

“Langkah ini diambil bagi membantu usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan jangkitan wabak COVID-19.

“Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pembelajaran dan pengajaran diteruskan secara ‘home base learning’ mengikut kesesuaian murid dan guru.

“Pentadbir sekolah perlu memastikan guru dan murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Jelas Radzi ibu bapa perlu mengambil anak-anak mereka yang berada di asrama, namun pelajar dibenarkan kekal berada di asrama sementara menunggu untuk diambil dan keperluan makanan akan disediakan pihak sekolah.

Dalam pada itu Radzi memaklumkan semua murid sekolah rendah akan memulakan sesi persekolahan bagi tahun 2021 pada 20 Januari tahun depan.

Pelajar sekolah menengah Tingkatan 1, 4, 5, 6 dan kolej vokasional juga akan memulakan sesi persekolahan bagi tahun 2021 pada 20 Januari.

Manakala bagi pelajar Tingkatan 2 dan 3, Radzi berkata mereka juga akan memulakan persekolahan pada tarikh sama namun hanya secara pembelajaran dari rumah.

Jelas Radzi, pelajar Tingkatan 2 dan 3 akan kembali memulakan pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac 2021.

Sementara itu, Radzi juga memaklumkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadual pada 6 Januari 2021 akan ditangguh kepada 22 Februari tahun depan manakala Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan bermula pada 8 Mac 2021.

Radzi juga memaklumkan peperiksaan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk tahun 2020 juga akan bermula pada 22 Februari 2021.

Maklumat lanjut berhubung peperiksaan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat. — AlHijrah Online

Leave a Reply