BIDEN MENANG PILIHAN RAYA AS, TRUMP TIDAK MAHU TERIMA KEKALAHAN

JOE BIDEN MENANG PILIHAN RAYA PRESIDEN AMERIKA SYARIKAT KE 46 (GAMBAR OLEH: Roberto SCHMIDT / AFP)

KUALA LUMPUR: Media antarabangsa melaporkan calon Demokrat, Joe Biden memenangi pilihan raya presiden Amerika Syarikat selepas memperoleh lebih 270 undi elektoral.

Setakat berita ini ditulis, data Associated Press (AP) menunjukkan Biden meraih 290 undi elektoral manakala Trump hanya mampu meraih 214 undi elektoral.

Biden dalam kenyataannya selepas dilapor menang pilihan raya tersebut berkata “Amerika, saya berbesar hati anda telah memilih saya untuk memimpin negara kita yang hebat. Saya akan jadi presiden untuk semua rakyat Amerika tidak kira anda undi saya atau tidak.”

Pun begitu, Trump kekal menafikan kemenangan Biden dan memaklumkan pilihan raya tersebut belum tamat.

“Kita semua tahu mengapa Joe Biden tergesa-gesa untuk dakwa dirinya sebagai pemenang, dan mengapa sekutu medianya berusaha keras membantunya: mereka tidak mahu kebenaran itu didedahkan.

“Faktanya mudah pilihan raya ini masih belum selesai. Joe Biden belum diperakui sebagai pemenang di mana-mana negeri, apatah lagi di negeri-negeri itu pengiraan undian masih berjalan, atau di negeri kempen kami mempunyai tuntutan mahkamah yang sah yang akan menentukan pemenang sebenar,” kata Trump dalam kenyataan.

Dalam pada itu proses pengiraan jutaan lagi undi masih berjalan.

Bagaimanapun kesemua undian tersebut dilapor masih tidak cukup untuk Trump menambah undi elektoral dan menidakkan kemenangan Biden. — AlHijrah Online

Leave a Reply