SEMBILAN KES INFLUENZA DIREKODKAN DI SETIU, TERENGGANU

Last Updated on

4

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu merekodkan dua kluster penyakit seperti influenza (ILI) melibatkan sembilan kes berusia lingkungan tiga hingga 38 tahun bagi tempoh 5-7 Jan lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata kedua-dua kluster tersebut berlaku di daerah Setiu melibatkan dua keluarga yang berbeza.

“Daripada sembilan orang yang dilaporkan dijangkiti influenza itu, lima kes positif influenza A, tiga kes positif influenza B manakala seorang lagi tidak dikenal pasti kerana tidak membuat ujian.

“Kesemua kes telah disahkan oleh fasiliti swasta dan kesemua mereka telah diberi rawatan tamiflu. Keadaan semua kes adalah stabil dan tidak dimasukkan ke wad hospital ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jabatan Kesihatan negeri dengan kerjasama Pejabat Daerah Setiu akan terus memantau kejadian itu dan kluster ILI adalah terkawal setakat ini, menurutnya.

Sehubungan itu, orang awam dinasihat menjaga kebersihan diri dan sekiranya mengalami batuk dan bersin, mereka perlu segera mendapatkan rawatan di hospital atau klinik manakala golongan berisiko dinasihat untuk mendapatkan vaksin influenza di klinik swasta. — BERNAMA

Leave a Reply