SEMOGA ALLAH MEMBERKATI KEBIJAKSANAAN RAJA-RAJA MELAYU – TMJ

KUALA LUMPUR: Situasi politik semasa yang melanda negara ini menunjukkan pentingnya sistem beraja untuk menjadi fungsi semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini bertitah dan mendoakan kebijaksanaan Raja-Raja Melayu untuk menjaga kestabilan dan melindungi negara.

“Situasi sekarang adalah petunjuk jelas yang menunjukkan apa yang akan berlaku bila kuasa mentadbir diberikan sepenuhnya kepada orang-orang politik sahaja.

“Di dalam situasi hari ini apa yang paling penting adalah kebajikan rakyat harus sentiasa diutamakan dan pemulihan ekonomi dapat terus bergerak dengan lancar.

“Semoga Allah memberkati kebijaksanaan Raja-Raja Melayu untuk menjaga kestabilan negara dan melindungi negara daripada ancaman orang-orang yang tamak dan menggilakan kuasa demi kepentingan peribadi,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Raja-Raja Melayu hari ini bermesyuarat khas di Istana Negara dipercayai bagi mendapatkan pandangan daripada semua raja berhubung pengumuman darurat.

Mesyuarat itu juga diadakan susulan cadangan yang dibentangkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada Jumaat lalu. — AlHijrah Online.

Leave a Reply