Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

SEMUA PERLU BERSATU HATI ANGKAT KEDUDUKAN INSTITUSI MAHKAMAH SYARIAH – MOHD NA’IM

DALAM NEGARA

SEMUA PERLU BERSATU HATI ANGKAT KEDUDUKAN INSTITUSI MAHKAMAH SYARIAH – MOHD NA’IM

KUALA LUMPUR: Usaha memperkukuh kedudukan institusi Mahkamah Syariah akan terus dilakukan dengan bersungguh-sungguh mengikut lunas dan tertibnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya akan terus mengadakan siri penerangan berkaitan isu-isu institusi perundangan dan kehakiman syariah.

“Ia memerlukan sokongan dan dokongan padu semua pihak. Semua perlu bersatu hati untuk mengangkat kedudukan institusi Mahkamah Syariah,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Terdahulu Mohd Na’im semalam menyampaikan ucaptama dalam Forum Pengukuhan Kedudukan Mahkamah Syariah bertempat di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya.

Penganjuran program itu digalas dengan komited oleh agensi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan dihadiri lebih 200 peserta terdiri daripada wakil badan bukan kerajaan, pemimpin komuniti, kakitangan kerajaan dan swasta, sukarelawan serta pelajar universiti.

Menurut Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, YADIM mengambil berat dan cakna akan situasi mengenai kes petisyen yang dikemukakan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan di Mahkamah Persekutuan.

Justeru ujarnya, YADIM mengambil inisiatif untuk menyediakan platform penerangan berkaitan kedudukan Mahkamah Syariah pasca keputusan tersebut, supaya masyarakat mendapat maklumat yang jelas daripada pakar-pakar perlembagaan.

Forum tersebut membariskan pakar-pakar perlembagaan berpengalaman dan terlibat dengan perjalanan kes yang disebutkan.

Mereka ialah Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Mohd Amran Mat Zain, Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Hashim @ Wan Husain daripada Institut Pemikiran Dan Tamadun Islam Antarabangsa, Datuk Adnan Seman (Tetuan Adnan Sharida & Associates) dan Tuan Lukman Sheriff Alias (Tetuan Zul Rafique & Partners.

Forum semalam turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan yang turut membacakan resolusi forum dan menyempurnakan perasmian penutup majlis.

Resolusi dibacakan Dr Zulkifli antara lain menyentuh mengenai kepentingan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah, mencari jalan penyelesaian bagi mencari titik keharmonian antara undang-undang sivil dan undang-undang syariah.

Selain itu beliau turut menyentuh berkenaan memanfaatkan media massa dengan pengisian informasi berkala menerusi bahan bacaan dan penghasilan video pendek berkaitan undang-undang syariah dan perlembagaan. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Mohammad Zaim Bin Nor Zamani, Ketua Unit Kandungan Digital TV AlHijrah.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading