Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

SEORANG MAUT, EMPAT CEDERA DALAM KEMALANGAN BABIT TIGA KENDERAAN

DALAM NEGARA

SEORANG MAUT, EMPAT CEDERA DALAM KEMALANGAN BABIT TIGA KENDERAAN

Seorang lelaki warga Bangladesh maut manakala empat individu warga tempatan cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di KM403 arah selatan dari Tanjung Malim ke Lembah Beringin di Lebuhraya Utara Selatan, tengah hari tadi.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Bangladesh maut manakala empat individu warga tempatan cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di KM403 arah selatan dari Tanjung Malim ke Lembah Beringin di Lebuhraya Utara Selatan, dekat sini, tengah hari tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata  pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.27 tengah hari tadi dan kemalangan itu melibatkan sebuah lori treler, lori tiga tan dan sebuah kereta jenis Toyota.

“Kemalangan mengakibatkan kelindan lori tiga tan iaitu seorang lelaki warga Bangladesh berusia 30 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala empat lagi mangsa mengalami kecederaan termasuk seorang cedera parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata kesemua mangsa yang cedera berusia 18 hingga 52 tahun dan mereka dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Mohd Asri Mohd Yunus berkata seorang lagi mangsa kemalangan meninggal dunia di Hospital Slim River ketika menerima rawatan.

Beliau berkata lelaki berusia 51 tahun itu yang merupakan pemandu lori jenis Mitsubishi Fuso dilaporkan meninggal dunia 3.10 petang.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan jenis Toyota Rush bergesel dengan lori Mitsubishi Fuso yang membawa muatan jagung, menyebabkan lori tersebut hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lagi lori jenis Scania.

“Akibat pelanggaran itu, kelindan lori Mitsubishi Fuso meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Asri berkata pemandu Toyota Rush berusia 18 tahun itu turut dihantar ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan.

Beliau berkata dua mangsa lagi iaitu penumpang kereta berkenaan berusia 52 tahun dan pemandu lori Scania berumur 26 tahun mengalami cedera ringan.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading