SHEIKH DR SAUD ASH SHURAIM TIDAK MEMIMPIN SOLAT TARAWIH DI MASJIDIL HARAM

MAKKAH: Selepas 32 tahun menjadi imam dan khatib di Masjidil Haram, Sheikh Dr Saud Ash Shuraim disahkan bersara dan tidak akan memimpin solat Tarawih di masjid suci itu pada Ramadan ini.

Spekulasi berkenaan persaraan Sheikh Shuraim yang mula dilaporkan pada Januari lalu tamat selepas Ketua Presiden Untuk Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdul Rahman al-Sudais mengumumkan senarai imam bagi solat Tarawih di Masjidil Haram.

Berdasarkan laporan Haramain Sharifain, Sheikh Shuraim bersara awal dan sumber memaklumkan perkara itu atas permintaan imam berkenaan.

Sheikh Shuraim dilantik menjadi imam dan khatib untuk Masjidil Haram pada 1991 dan kali terakhir beliau dilaporkan mengetuai solat di masjid suci itu adalah pada Oktober tahun lalu.

Sementara itu, lima imam yang disenaraikan untuk memimpin solat Tarawih di Masjidil Haram tahun ini ialah Sheikh Abdul Rahman al-Sudais, Sheikh Bandar Baleelah, Sheikh Maher Al Muaiqly, Sheikh Yasir Ad Dawsary dan Sheikh Abdullah Juhany. – AlHijrah Online

Leave a Reply