SIASAT DAN BAWA KE MUKA PENGADILAN JIKA WUJUD PENIPUAN

Sumber Gambar: BERNAMA

MAKKAH: Pihak berkuasa diminta menyiasat secara terperinci berhubung isu hampir 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Hotel Movenpick KLIA, semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata beliau dimaklumkan beberapa laporan polis telah dibuat dan beberapa tindakan telah dimulakan bagi proses siasatan.

Idris turut melahirkan rasa kecewa berhubung insiden yang tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi ia melibatkan urusan rukun Islam yang perlu dipandang berat semua umat Islam termasuk agensi menguruskan jemaah haji.

“Sekiranya terdapat unsur penipuan, pihak terbabit perlu dibawa ke muka pengadilan dan diberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua pihak agar tidak berulang lagi kes sedemikian.

“Saya meminta rakyat Malaysia terutamanya umat Islam berwaspada dan berhati-hati dalam kes seperti ini dan sentiasa mendapatkan nasihat yang tepat daripada Tabung Haji walaupun menggunakan khidmat agensi luar untuk mengerjakan haji,” katanya dalam satu kenyataannya, hari ini.

Idris turut menasihatkan agar pihak teraniaya dan seluruh keluarga terlibat agar tabah dan terus mengambil peluang pada hari Arafah untuk bermunajat serta memanjatkan doa.

Ia bagi mendapatkan keredaan Allah walaupun tidak dapat hadir menunaikan ibadah haji di tanah suci Makkah, katanya.—AlHijrah Online

One comment

Leave a Reply