SITI NURAMIRA DITAHAN JAWI, DIJANGKA DIHADAP KE MAHKAMAH TINGGI SYARIAH ESOK

Sumber Gambar: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Wanita yang didakwa menghina agama Islam semasa membuat persembahan di sebuah kelab komedi dilaporkan ditahan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebaik sahaja dibebaskan mahkamah hari ini.

Memetik laporan Berita Harian, Siti Nuramira Abdullah, 26, ditahan penguatkuasa JAWI selepas menandatangani Borang Jamin yang ditemani peguamnya Ramesh Chandran di Kaunter Jaminan Komples Mahkamah di sini pada jam 10.30 pagi tadi.

Mengikut prosedur, wanita tersebut akan ditahan oleh JAWI selama 24 jam sebelum dijangka dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah esok.

Siti Nuramira akan dituduh mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Bahagian III-Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesucian Agama Islam Dan Institusinya.

Seksyen tersebut membabitkan kesalahan menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina yang mana jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Semalam, Siti Nuramira dan teman lelakinya V. Alexander Navin, 38, masing-masing selesai membayar jaminan RM20,000 yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen hasil daripada sumbangan orang ramai.

Peguam R. Sivaraj berkata, wang jaminan berjumlah RM40,000 itu adalah hasil kutipan daripada sumbangan orang ramai dalam tempoh empat hari yang dimasukkan ke akaun bank hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL).

Pada 13 Julai lepas, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengaku bahawa dia adalah seorang Muslim yang telah menghafal 15 juzuk al-Quran dan kemudian bertindak membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas.—AlHijrah Online

Leave a Reply