KUALA LUMPUR: Pasaran industri pelancongan mesra Muslim diramal menerima sambutan memberansangkan ekoran saiz diperingkat antarabangsa dianggarkan mencecah 230 juta orang dengan jangkaan perbelanjaan sebanyak 225 bilion dolar Amerika menjelang 2028.
Selari dengan hasrat Malaysia untuk menjadi peneraju pelancongan mesra Muslim, Islamic Tourism Centre (ITC) kini selangkah ke hadapan dengan memperluaskan kategori pengiktirafan Muslim Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR).
Menurut Pengarah Bahagian Pembangunan Industri (ITC), Marina Muhamad, pengiktirafan MFAR kini tidak tertumpu kepada premis penginapan semata-mata malah pihaknya kini turut melihat potensi industri spa serta premis kesejahteraan dan urutan mesra Muslim, memandangkan bidang perniagaan itu kini sentiasa mendapat permintaan tinggi.
“Terdapat kumpulan pelancong dari luar negara yang berminat dengan rawatan kesejahteraan seperti urutan. Jadi dengan pengiktirafan MFAR kepada pusat spa dan kesejahteraan yang terlibat diharapkan ia dapat melonjakkan lagi impak dan ekonomi kepada negara kita,” katanya.
Tambah Marina, pusat spa dan kesejahteraan diiktiraf MFAR juga akan lebih dikenali sebagai premis yang memberi perkhidmatan patuh syariah, menyantuni pelanggan berdasarkan jantina, dan menghormati hak privasi mereka selain bahan-bahan yang digunakan dijamin halal.
Bagi Presiden Persatuan SPA Malaysia, Hana Halim, pengiktirafan MFAR memudahkan urusan pemberian kelulusan sijil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sekaligus dapat menghapuskan tanggapan negatif terhadap perkhidmatan di sesebuah SPA.
“Bila ada pengiktirafan tersebut PBT maklum perkhidmatan yang dijalankan di pusat spa dan kesejahteraan terlibat tidak melibatkan perkara negatif. Gambaran buruk terhadap pusat spa dan kesejahteraan juga dapat ditepis melalui pengasingan jantina untuk perkhidmatan yang diberikan,” katanya.
Usaha untuk merealisasikan konsep spa mesra muslim di Malaysia melalui pengiktirafan MFAR mendapat sokongan penuh daripada Pengarah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Hisham Sabri yang melihat usaha itu sebagai inisiatif untuk memperkasakan pelancongan di Malaysia.
“Sudah tiba masanya kita bangunkan pelancongan Islam melalui institusi yang bertanggungjawab seperti MFAR. Saya yakin ia akan memberi manfaat kepada industri pelancongan di Malaysia,” katanya.
MFAR diperkenalkan sejak 2019 dan dibangunkan selama beberapa tahun oleh pakar industri bersama badan berautoriti termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Jabatan Standard Malaysia berdasarkan Standard MS-2610. — AlHijrah Online