‘LEPAK GENG UTAGHA’, INISIATIF DAKWAH MADAD TARIK GOLONGAN BELIA

SUNGAI PETANI: Berdakwah dan menarik golongan belia ke masjid menerusi aktiviti sukan, itu kelainan yang dibawakan Murtadha Dakwah Centre (MADAD).

Menerusi program ‘Lepak Geng Utagha’, anak muda di sekitar Kedah diberi pendedahan untuk mencorak kehidupan yang positif dengan melibatkan diri dalam aktiviti riadah.

Pengarah Urusan MADAD Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof berkata, dua acara dipertandingkan iaitu sepak penalti dan e-football yang berlangsung di pekarangan Masjid Darul Murtadha di MADAD.

Seramai 128 pasukan menyertai pertandingan sepak penalti yang menawarkan hadiah sehingga RM4,000 sementara hampir 700 belia menyertai e-football yang menghimpunkan peserta terbaik daerah dan negeri.

“InsyaAllah kita ingin menubuhkan unit ‘e-sports’ di bawah MADAD, untuk kita boleh berada selari dengan pembangunan anak-anak muda.

“Inisiatif yang kita lakukan itu berjaya menarik anak-anak muda untuk hadir solat berjemaah di masjid,” katanya kepada pemberita.

Dalam masa yang sama, MADAD turut mengambil iktibar daripada zaman Rasulullah SAW yang memperluaskan peranan masjid kepada pusat aktiviti masyarakat yang dapat mengeratkan ukhwah penduduk sekitar.

Masjid Darul Murtadha juga menyediakan hotel kapsul sebagai kemudahan kepada musafir untuk berteduh sebelum memulakan perjalanan selain menyediakan taman permainan kanak-kanak bagi menggalakkan anak-anak dan ibu bapa mengunjungi masjid.

Sementara itu, bagi peserta Md Yussof Mohammad, 27, dia telah menyertai pelbagai pertandingan di seluruh negara merasa kagum dengan usaha yang dilakukan oleh MADAD.

Katanya, semua peserta pertandingan tidak melupakan tanggungjawab agama walaupun mereka dalam ‘mood’ pertandingan.

“Kita dapat eratkan silaturrahim, bagi ilmu pengetahuan kepada kita supaya dalam keadaan sedang beriadah kita juga dapat pelajaran baharu mengenai dakwah menerusi pusat dakwah MADAD,” katanya.

Masjid Darul Murtadha merupakan sebahagian projek pembangunan Murtadha Dakwah Centre yang meliputi pembangunan rumah warga emas, kompleks tahfiz integrasi dan stadium e-sport, hub sukan sunnah serta penyediaan khidmat pengurusan jenazah yang dilakukan secara percuma.

Orang ramai yang ingin menjayakan penubuhan Murtadha Dakwa Centre boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank 5520 5980 7117 atas nama Murtadha Dakwah Centre, atau laman web http://www.madadcentre.com serta hubungi talian hotline 014-6019090/ 014-6019494. —AlHijrah Online

Leave a Reply