KUALA LUMPUR: Seramai 34,346 pelajar yang akan memulakan pengajian peringkat diploma di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan politeknik bagi sesi Julai tahun ini telah ditawarkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500 bagi setiap pelajar.
Pemberian WPP oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu bertujuan menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar memasuki IPTA dan politeknik sekali gus menjaga kebajikan para pelajar.
Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, melalui bantuan itu pihaknya berharap pelajar dapat memberikan tumpuan kepada pembelajaran dan berusaha bersungguh-sungguh sehingga menjadi modal insan kepada negara.
“Inisiatif pemberian WPP ini adalah untuk membantu menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar dan ibu bapa kerana kita percaya tidak semua mampu menghantar anak-anak ke IPT kerana memerlukan sumber kewangan yang tinggi.
“Di Negeri Pulau Pinang seramai 1,434 orang pelajar ditawarkan WPP dengan peruntukan berjumlah RM2.2 juta. Manakala, bagi kawasan Bukit Gelugor sahaja, seramai 82 pelajar telah ditawarkan WPP melibatkan peruntukan berjumlah RM123,000. Tahniah dan syabas kepada semua pelajar-pelajar di atas kejayaan melangkah ke menara gading,” katanya selepas satu Majlis Penyerahan WPP kepada pelajar-pelajar di Pulau Pinang.
PTPTN memperuntukkan RM51.5 juta bagi inisiatif WPP dan pelajar yang telah bersetuju menerima WPP semasa membuat permohonan kemasukan IPTA dan politeknik, boleh menunaikan bantuan tersebut di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 18 Julai 2024 dengan membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar (wakil tidak dibenarkan).
Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN dan tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan bermula 18 Julai 2024 hingga 17 September 2024.
Sementara itu PTPTN memaklumkan pelajar yang ingin membuat pinjaman pendidikan boleh melakukannya secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap IPTA dan politeknik untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya.
Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN. – AlHijrah Online