Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

SULTAN HASSANAL BOLKIAH TIBA UNTUK ISTIADAT PERTABALAN SULTAN IBRAHIM

DALAM NEGARA

SULTAN HASSANAL BOLKIAH TIBA UNTUK ISTIADAT PERTABALAN SULTAN IBRAHIM

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah tiba di Subang, hari ini bagi menghadiri istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim di Istana Negara, esok.

Sumber Gambar: BERNAMA

SUBANG: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah tiba di sini, hari ini bagi menghadiri istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim di Istana Negara, esok.

Sultan Hassanal Bolkiah tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada pukul 11.55 pagi, dengan menerbangkan sendiri pesawat Royal Brunei Boeing 787-8 (BBJ).

Baginda diiringi oleh Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Putera Brunei Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah, dan ahli keluarga diraja Brunei yang lain.

Paduka anakanda Sultan Ibrahim, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, suaminya Datuk Dennis Muhammad Abdullah, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman, dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar menyambut ketibaan rombongan diraja tersebut.

Turut hadir, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Baginda kemudian berjalan melepasi kawalan kehormatan statik terdiri daripada 28 pegawai dan anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Infantri Istiadat) yang diketuai oleh Kapten Nur Ahmad Zain Zahari.

Kehadiran baginda ke istiadat pertabalan bersejarah ini adalah atas jemputan Sultan Ibrahim, yang disampaikan secara peribadi kepada Sultan Hassanal Bolkiah pada 25 Jun di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan.

Jawapan rasmi daripada Sultan Hassanal Bolkiah untuk menghadiri istiadat pertabalan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Adat Istiadat Negara Brunei, Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Haji Idris pada 10 Julai di Istana Negara.

Selain Sultan Hassanal Bolkiah, Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa juga dijangka menghadiri istiadat pertabalan bersejarah Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas, menandakan bermulanya pemerintahan lima tahun baginda.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading