Connect with us

ALHIJRAH NEWS

STATUS ISMAIL LASIM DAN CALON MB BAHARU KINI DI TANGAN ISTANA

DALAM NEGARA

STATUS ISMAIL LASIM DAN CALON MB BAHARU KINI DI TANGAN ISTANA

Status peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim dan calon Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu kini menunggu keputusan serta pengumuman rasmi istana selepas satu nama dikemukakan kepada pihak istana.

KOTA TINGGI: Keputusan mengenai status peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim serta calon Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu kini diserahkan kepada kebijaksanaan Istana Negeri Sembilan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang perkembangan lanjut perlu menunggu pengumuman rasmi pihak istana.

“Hasilnya biar diumumkan oleh istana sendiri dan juga oleh Datuk Ismail Lasim. Jadi saya merasakan bahawa ada sesuatu yang telah diputuskan bersama oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Datuk Ismail (dalam sesi menghadap semalam),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di Desaru Coast Conference Centre, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, pihaknya telah mengutus warkah kepada istana berhubung calon Menteri Besar baharu, namun masih belum menerima titah untuk menghadap.

“Warkah telah diutus. Jadi setakat ini saya belum (menerima) titah untuk menghadap dan kami menaruh kepercayaan kepada kepimpinan negeri untuk mempersembah maklum warkah berkenaan. Satu sahaja (nama calon), tetapi biar istana yang umumkan,” ujar beliau.

Ismail, 67, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh dilaporkan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar pada Isnin lalu selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 2 Ogos.

Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan memaklumkan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Tuanku Muhriz turut berkenan menerima menghadap Ismail semalam dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam setengah.

Ahmad Zahid turut menegaskan isu peletakan jawatan Menteri Besar merupakan urusan rasmi pentadbiran negeri dan tidak sewajarnya dicampuradukkan dengan hal peribadi atau keluarga.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, BN memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala Perikatan Nasional memperoleh tujuh kerusi. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top