Connect with us

ALHIJRAH NEWS

DAKWAAN DUN PERAK BUBAR ADALAH TIDAK BENAR

DALAM NEGARA

DAKWAAN DUN PERAK BUBAR ADALAH TIDAK BENAR

Pejabat Menteri Besar Perak menafikan dakwaan Datuk Seri Saarani Mohamad telah mendapat perkenan membubarkan DUN Perak dan membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung penyebaran maklumat berkenaan.

IPOH: Pejabat Menteri Besar Perak menafikan dakwaan bahawa Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bagi memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Dalam kenyataan hari ini, Pejabat Menteri Besar Perak menyifatkan dakwaan yang tersebar di beberapa platform media sosial itu sebagai tidak benar dan tidak berasas.

“Pejabat Menteri Besar Perak memandang serius penyebaran maklumat tidak benar, khususnya yang mengaitkan institusi diraja dan pentadbiran kerajaan negeri.

“Sehubungan dengan itu, pentadbiran ini telah membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut diambil,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan sama, pihaknya turut mengesan penyebaran grafik yang menyerupai siaran berita televisyen serta penyiaran semula bahan berita lama yang berpotensi menimbulkan kekeliruan mengenai kedudukan semasa DUN Perak.

Pejabat Menteri Besar Perak turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak menyebarkan kandungan yang belum disahkan kesahihannya.

Terdahulu, tular di media sosial poster serta maklumat berkaitan dakwaan pembubaran DUN Perak. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top