SUAMI ISTERI DIDAKWA DERA ANAK SAUDARA SEHINGGA MATI

IPOH: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan mendera anak saudara mereka sehingga mati dua minggu lalu.
Tertuduh Zainuddin Noh dan Norhazleyana Azreen Abdul Hamid masing-masing berusia 40 tahun mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Aisha Farhana Muhammad Khirul Azral, lapan tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Desa Pengkalan Bandaraya, Ipoh antara pukul 10 malam 13 Mei hingga 7 pagi 14 Mei lalu.
Bagi perbuatan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Majistret Jessica Daimis menetapkan 30 Jun untuk sebutan semula kes.
Sementara itu di Mahkamah Sesyen Ipoh, tertuduh yang merupakan pesara tentera dan isterinya turut berdepan dua dakwaan mendera.
Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa turut mendera adik lelaki si mati pada pukul 1.30 petang dan 10.30 malam 13 Mei lalu di alamat yang sama.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah turut menetapkan 30 Jun untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.
Sebelum ini media melaporkan pasangan suami isteri itu ditahan susulan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang juga anak saudara mereka disyaki akibat didera.
Penahanan suspek dibuat susulan laporan polis oleh pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada 3.14 pagi.
Kanak-kanak perempuan itu dibawa ke hospital oleh ambulans, namun disahkan meninggal dunia pada 1.45 pagi. – AlHijrah Online