SUAMI ISTERI MAUT KERETA TERBABAS DALAM PERJALANAN KE PUSAT MENGUNDI

KOTA TINGGI: Sepasang suami isteri yang sedang dalam perjalanan ke pusat mengundi maut manakala anak perempuan mereka yang berusia tiga tahun patah kaki kanan dalam kemalangan di Kilometer 46 Jalan Johor Bahru-Mersing di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata kemalangan melibatkan Perodua Alza dan pacuan empat roda Toyota Hilux itu berlaku pada 12.08 tengah hari.

“Hasil siasatan mendapati pemandu Alza dalam perjalanan hendak ke Skudai (untuk mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 di Skudai) setelah selesai mengundi di Lok Heng. 

“Alza yang dipandu lelaki berusia 37 tahun itu sedang menghala ke Johor Bahru telah terbabas ketika melalui selekoh dan berpusing di laluannya sebelum terbabas ke laluan bertentangan (menghala ke Mersing), lalu bertembung dengan Hilux,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata akibat kemalangan itu, lelaki berkenaan dan isterinya yang berusia 31 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anak mereka dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun Hussin berkata pemandu Hilux berusia 60 tahun tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata ketika kejadian, keadaan jalan raya basah akibat hujan dan kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu Alza yang gagal mengawal kenderaannya dengan baik. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –AlHijrah Online

Leave a Reply