SULTAN ISMAIL PETRA MANGKAT

KOTA BHARU: Ayahanda Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V iaitu Sultan Ismail Petra mangkat di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini jam 8.11 pagi tadi.
Menurut laman Facebook Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan Al-Muhammadi, jenazah Al-Marhum Sultan Ismail Petra akan dibawa ke Istana Balai Besar untuk Istiadat Penghormatan terakhir.
Istiadat Pemakaman pula dijangka dilangsungkan selepas solat asar di Makam Diraja Langgar Kota Bharu.
Entri di laman Facebook itu turut menyertakan etika berpakaian untuk penghormatan terakhir kepada Al-Marhum.
Etika berpakaian untuk kerabat Diraja adalah berbaju Melayu putih, bersampin putih, songkok hitam beralas kain putih di atas dan baju kurung putih bagi perempuan.
Etika berpakaian untuk orang awam ialah berbaju Melayu putih, bersampin putih, bersongkok hitam beralas kain putih dan baju kurung putih bagi perempuan, katanya. — AlHijrah Online