
Sumber Gambar: BERNAMA
IPOH: Perbezaan politik, mazhab, bangsa dan kepentingan, menjadi cabaran besar buat kesatuan umat Islam kini, di samping tarikan kepada pengaruh, pangkat, jawatan, harta dan kemewahan dunia, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Sultan Nazrin bertitah hal berkenaan semakin menggugat semangat persaudaraan hingga menyebabkan konsep ukhuwah semakin diketepikan.
Sehubungan dengan itu, baginda bertitah pemimpin, badan dan gerakan atas nama Islam perlu mengurangkan sengketa dan aktiviti berpolitik, sebaliknya memberi perhatian, sokongan serta usaha yang berpotensi memartabatkan identiti ummah.
“Amatlah menggalakkan dan sewajarnya kita bersyukur kerana ketika pemimpin dan kabilah-kabilah politik memilih untuk bersaing dan bersengketa, terdapat individu dan kumpulan yang merintis usaha positif, menggerakkan dan mengusahakan kesedaran terhadap pendidikan Islam.
“Juga ekonomi Islam, kewangan Islam, industri halal, wakaf, dakwah digital dan pengukuhan institusi keluarga, usaha positif ini wajib diperluas, diperkukuh dan dijayakan,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di sini, hari ini.
Turut berangkat ke majlis berkenaan, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin.
Sultan Nazrin bertitah jati diri Muslim dan identiti ummah kini berdepan dengan cabaran yang perlu ditangani secara serius kerana semakin terdedah kepada pengaruh global termasuk media sosial, budaya popular, hiburan dan gaya hidup global.
“Usaha, pendekatan dan langkah yang bijak sangat diperlukan untuk mengimbangkan dan memastikan kemodenan tidak menghakis prinsip dan identiti Muslim, demi memastikan tidak akan wujud krisis keyakinan terhadap identiti sendiri,” titah baginda. — AlHijrah Online