SULTAN JOHOR: GURU SEHARUSNYA MENJADI CONTOH KEPADA ANAK MURID, AMBIL SUNTIKAN VAKSIN

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah kakitangan awam termasuk golongan guru perlu memahami betapa pentingnya pengambilan vaksin untuk melindungi diri, keluarga, serta masyarakat.

Titah baginda, pengambilan vaksin adalah penting dan perlu dipertingkatkan bagi mencapai sasaran imuniti kelompok di negara ini, seterusnya berupaya membendung penularan jangkitan COVID-19.

“Guru-guru patut jadi contoh dan melindungi anak murid, bukannya membahayakan mereka, apatah lagi sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi. Saya dan keluarga juga sudah lengkap mengambil dua dos vaksin.

“Jangan mudah terpengaruh dengan golongan anti vaksin sebagaimana saya tegaskan sebelum ini. Percayalah pakar perubatan kita yang bertauliah. Mereka yang menolak vaksin tanpa sebab yang sahih seolah-olah merelakan diri dijangkiti,” titahnya menerusi laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Baginda bertitah demikian bagi mengulas laporan seramai seramai 779 guru di Johor enggan menerima suntikan vaksin COVID-19.

Semalam, Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor Mazlan Bujang berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu memberi penerangan kepada kumpulan guru terbabit mengenai kebaikan vaksin supaya mereka sedia menerima suntikan.

“Saya berharap agar semua rakyat Johor dapat suntikan vaksin dengan segera, supaya boleh kembali bekerja, berniaga dan menjalani kehidupan seperti biasa,” titah baginda.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga semalam bertitah akan berjumpa dengan Pengarah Pendidikan Johor dan kira-kira 779 guru yang didakwa enggan menerima suntikan vaksin COVID-19.

—AlHijrah Online

Leave a Reply