SIDANG PARLIMEN BERLANGSUNG SEPERTI DITETAPKAN PADA 6 SEPTEMBER – TIMBALAN SPEAKER

Sumber Gambar: AFP

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang dijadualkan bermula 6 September depan akan berlangsung mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, setakat ini tiada perubahan pada tarikh persidangan dan mesyuarat itu akan berlangsung seperti biasa.

“Jika ada perubahan dari Ketua Majlis, Yang Dipertua Dewan Rakyat akan mengeluarkan pemakluman,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen Ke-14 akan berlangsung bermula 6 hingga 30 September ini, menurut takwim dan Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di portal rasmi Parlimen.

Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan, istiadat pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada hari pertama persidangan berlangsung.

“Istiadat akan berlangsung pada jam 10 pagi di Bangunan Parlimen Malaysia.

“Mesyuarat pertama berlangsung selama 15 hari bermula 6 sehingga 30 September 2021 manakala mesyuarat kedua berlangsung selama 32 hari bermula 25 Oktober sehingga 16 Disember 2021,” katanya.

Jelasnya, kesemua ahli Dewan wajar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelaksanaan Persidangan Parlimen yang ditetapkan dengan mengambil kira pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan, bagi memastikan ia berlangsung dalam keadaan selamat.—AlHijrah Online

Leave a Reply