TAN SRI AZMAN HASHIM DIMAHSYUR CANSELOR KOLEJ UNIVERSITI ANTARABANGSA MAIWP (UCMI)

KUALA LUMPUR: Tokoh perbankan tanah air, Tan Sri Azman Hashim dimahsyur sebagai Canselor Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) hari ini. Majlis Pemasyhuran itu diadakan bersempena Majlis Konvokesyen ke-14 pada Sabtu.

Pada Majlis Konvokesyen itu juga, Profesor Emerita Datuk Dr Asma binti Ismail pula dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor. Majlis Pemasyhuran itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar.

Dalam kenyataannya hari ini, UCMI memaklumkan pemahsyuran Canselor dan Pro Canselor itu telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

“Pencapaian dan sumbangan besar Tan Sri Azman Hashim kepada negara menjadikan beliau antara tokoh yang amat disegani di Malaysia. Kejayaannya membangunkan Ambank telah mengangkat beliau sebagai pengasas yang berjaya dan berpengaruh dalam industri kewangan tempatan,” memetik kenyataan UCMI hari ini.

Sementara itu, pelantiakn Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail juga dilihat tepat memandangkan sumbangannya kepada sistem pendidikan tinggi dan ekosistem pembangunan sains telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Profesor Emerita Datuk Dr Asma telah berjaya dalam penemuan saintifik yang membawa kepada penghasilan 16 paten yang dikomersialkan di seluruh dunia serta menghasilkan ujian diagnostik pantas demam tifoid dipanggil TYPHIDOT, yang turut disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” jelas kenyataan itu lagi.

Sementara itu, pada Majlis Konvokesyen UCMI Kali ke-14 yang bertemakan “Umpama Mutiara Yang Bergemerlapan Di Seantero Dunia”, seramai 1,029 graduan yang layak bergraduat telah menerima Ijazah Sarjana Muda, Diploma dan Sijil.

Majlis berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

UCMI adalah milik penuh MAIWP, dan dengan bantuan MAIWP juga ia telah menyantuni keluarga asnaf dan memberikan pendidikan berkualiti kepada anak-anak asnaf.

Hasilnya, graduan dari keluarga asnaf ini berjaya mendapat pekerjaan yang baik dan menaiktaraf kehidupan mereka seterusnya menyumbang kepada peningkatan jumlah pembayar zakat di Wilayah Persekutuan. –Alhijrah Online

Leave a Reply