TANGANI ISU BOIKOT KELAPA SAWIT DENGAN ADVOKASI

(GAMBAR OLEH Mohd RASFAN / AFP)

Dunia menyaksikan bagaimana industri kelapa sawit  di Malaysia dan Indonesia terus dibelenggu dengan krisis dagangan.

Bermula dengan kempen memboikot komoditi itu oleh Kesatuan Eropah yang dijangka berkuatkuasa pada 2022, diikuti pula dengan beberapa buah negara Eropah yang lain seperti Iceland dan yang terkini adalah India yang menyatakan keputusannya untuk memansuhkan import komoditi tersebut dengan alasan membantah suara Malaysia mengkritik pelaksanaan dasar kewarganegaraan ke atas penduduk Islam di negara itu.

Ternyata dorongan terhadap isu-isu ini sedikit telah menjejaskan eksport negara kita ke Eropah dan India.

Malaysia mengeksport minyak kelapa sawit yang kedua terbesar di Eropah dan dijangka menyaksikan  kerugian sebanyak  RM11 billion, yang mana RM777.7 juta   dan melibatkan eksport 235,291 ton biodiesel di benua tersebut.

Sementara di India pula akan menyaksikan lebihan sebanyak 800,000 tan minyak ini tidak terjual akibat daripada perang dingin berkaitan isu kedua-dua negara tersebut.

Dalam konteks isu memboikot minyak kelapa sawit oleh Kesatuan Eropah, terdapat beberapa persoalan yang diutarakan, melibatkan strategi kesedaran komuniti di benua tersebut terhadap realiti maklumat mengenai isu kelapa sawit yang tular dikebanyakan negara Eropah seperti di Paris, Italy, Netherlands dan Iceland dan di media sosial.

Apakah yang difahami oleh komuniti Eropah berkaitan dengan perusahaan komoditi kelapa sawit? Setakat manakah langkah advokasi yang Malaysia lakukan untuk menangani kempen-kempen boikot minyak kelapa sawit?

Ternyata persoalan-persoalan ini belum berhasil untuk menepis tohmahan-tohmahan kempen yang menggunakan pendekatan isu penebangan hutan yang merupakan  tunggak krisis ini, selain saliran gambut dan kerugian biodiversiti yang telah memberi kesan kepada kehidupan spesies, kesan perubahan cuaca dan pencemaran yang terancam yang banyak dipropagandakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivitis alam sekitar di Eropah dalam siri-siri kempen mereka.

Baru-baru ini kajian yang dibuat oleh sekumpulan penyelidik  yang diketuai oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dan beberapa buah Institut Pengajian Tinggi (IPT) di dalam dan luar negara berkaitan dengan impak isu minyak kelapa sawit ini mendedahkan pendekatan strategi advokasi komunikasi bagi menangani ancaman propaganda kempen yang ditularkan di benua Eropah.

Kajian kumpulan fokus yang mengupas pandangan responden dari golongan akedemia, aktivitis alam sekitar dan komuniti di Paris, Amsterdam dan Vienna untuk mengenal pasti punca kegagalan penyaluran komunikasi untuk mengekang persepsi negatif masyarakat Eropah menerusi kempen-kempen membaikot komoditi ini.

Kajian yang dilakukan itu menyusuri sikap, tingkah laku dan keyakinan berterusan masyarakat Eropah terhadap kempen isu-isu berkaitan minyak kelapa sawit yang terdedah kepada mereka, sama ada disebarkan oleh media konservatif atau media siber.

Kajian mendapati bahawa persepsi masyarakat terhadap penularan kempen boikot minyak kelapa sawit yang dibuat di benua itu hanya berkisarkan kepada provokasi maklumat tanpa fakta yang jelas, menyeluruh dan adil.

Hasil kajian tinjauan tersebut mendapati bahawa industri minyak sawit pada masa ini harus konsisten mengaturkan strategi intervensi berasaskan hasil dan tidak bertumpu kepada nilai komersil komoditi itu semata-mata.

Pemulihan reputasi terhadap industri kelapa sawit harus diberi keutamaan dengan pendekatan komunikasi strategik yang lebih berfokus dan bersasaran bagi memastikan penumpuan pemulihan isu komoditi ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Sehingga kini, aktivis-aktivis alam sekitar memanipulasikan isu boikot minyak kelapa sawit ini dengan menyuntik tanggapan masyarakat umum Eropah menyerang  kepada isu penebangan hutan dan kehilangan biodiversiti, namun pada hakikatnya kumpulan itu gagal dalam menyerlahkan fakta-fakta yang berasaskan bukti secara saintifik .

Walaupun terdapat cadangan penggunaan pelbagai jenis minyak untuk menggantikan hasil komoditi ini , ia tidak memperkukuhkan dengan  fakta dan tidak  dapat menyelesaikan isu penebangan hutan.

Ini kerana aktiviti penebangan hutan masih dilakukan berleluasa untuk menghasilkan pelbagai jenis produk dari komoditi-komoditi seperti penanaman minyak zaitun, minyak soya dan sebagainya.

Justeru, suatu pendekatan advokasi strategi perhubungan awam untuk menilai keberkesanan penyaluran maklumat umum amat diperlukan bagi menangani penularan kempen isu boikot minyak kelapa sawit yang semakin meluas dengan mengambil kira pelaksanaan tindakan-tindakan tersebut.

Kegagalan pengawalan krisis kerana tidak mengambil kira gambaran sebenar isu minyak kelapa sawit itu terjadi disebabkan oleh tidak memahami kelompok komuniti terlibat, menyebabkan krisis ini sukar dipantau.

Suatu Pusat Maklumat Respons Komunikasi Krisis di peringkat operasi kempen dan strategik harus diwujudkan bagi membuat perancangan, pelaksanaan dan pemantauan sentimen isu dengan lebih berkesan pada peringkat awal.

Sehubungan dengan itu juga, suatu koordinasi pengurusan kerja di antara pemegang taruh yang berkepentingan dengan lebih sistematik harus dijanakan supaya maklumat yang disampaikan kepada sasaran komuniti dapat dibuat secara telus.

Ini akan mewujudkan suatu perkongsian nilai  yang mudah difahami di semua peringkat institusi dan perundangan.

Penggunaan media siber secara optimum boleh membantu memanfaatkan penyaluran maklumat dengan lebih berkesan dan dapat menguruskan pengendalian jangkaan komuniti terhadap sentimen isu yang tular di media sosial.

Para pemimpin politik dan kerajaan harus bertanggungjawab untuk menyakinkan masyarakat supaya mempercayai dan menyakini bentuk maklumat yang disalurkan secara konsisten kepada masyarakat dengan gambaran menyeluruh dan adil.

Ini juga dapat meningkatkan kredibiliti kerajaan sebagai institusi yang berupaya menyalurkan maklumat berkesan kepada sasaran masyarakat untuk memnuhi agenda negara.

Dari perspektif yang lain, suatu penelitian terhadap sentimen isu daripada penularan maklumat berkaitan dengan kempen boikot minyak kelapa sawit ini harus dikenal pasti.

Bagaimana keputusan yang dibuat berdasarkan akauntabiliti kerajaan untuk mengembalikan keyakinan masyarakat daripada sebarang kepincangan dalam pengurusan krisis ini dapat ditangani? Bagaimana agensi-agensi kerajaan berkaitan dapat  menguruskan proses maklum balas responden terhadap krisis yang dihadapi? Persoalan inilah yang harus difikirkan.

Pendekatan komunikasi strategik pengendalian krisis dan isu awam sebegini sudah seharusnya menjadi paksi terhadap pembinaan semula reputasi industri kelapa sawit di negara ini yang tercalar dapat dipulihkan.   

Penulis adalah pensyarah kanan yang juga Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media dan Industri Kreatif, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) UPM.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply