
Sumber: BERNAMA
KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memeterai kerjasama strategik bersama Kementerian Ekonomi bagi memperkasa golongan asnaf dan usahawan kecil untuk menjana pendapatan mampan melalui perniagaan mesin layan diri makanan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Makanan (IPR-INSAN), Kementerian Ekonomi menyediakan kemudahan mesin berserta subsidi sewa penuh selama 24 bulan, manakala MAIWP menyalurkan bantuan modal permulaan kepada usahawan asnaf yang layak.
Menurutnya, sinergi tersebut membuktikan komitmen kerajaan dalam membangunkan rakyat secara menyeluruh melalui pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government).
“MAIWP bukan sekadar menyalurkan bantuan zakat secara rutin, sebaliknya mahu melahirkan lebih ramai usahawan asnaf yang mampu berdikari dan keluar daripada kepompong kemiskinan.
“Pihak majlis akan membangunkan usahawan asnaf dengan memberikan modal, manakala Kementerian Ekonomi menyediakan mesin dan insentif sewa. Kerjasama ini sudah pasti akan membawa manfaat dan meningkatkan pendapatan usahawan asnaf,” jelasnya.
Sementara itu, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir berkata, pelaksanaan program IPR-INSAN setakat ini telah menunjukkan hasil yang positif dan boleh diukur.
Beliau memaklumkan, sebanyak 1,125 mesin telah ditempatkan setakat ini yang terbukti mampu mengubah taraf hidup pesertanya.
“Melalui data tersebut, lebih 700 peserta telah memperoleh hasil lebih RM2,000 sebulan. Ini bermakna lebih 60 peratus usahawan asnaf ini telah berjaya menjana pendapatan tambahan dan meningkatkan keupayaan mereka,” ujarnya.
Malah, sebahagian peserta program dilaporkan berjaya mencatat jualan antara RM4,000 hingga RM10,000 sebulan melalui penempatan mesin layan diri di lokasi strategik seperti stesen MRT, Pusat Transformasi Bandar (UTC), dan premis tumpuan awam.
Tambahnya, setakat Mac 2026, program berkenaan turut merekodkan jumlah jualan keseluruhan mencecah RM20.46 juta. Pencapaian ini membuktikan IPR-INSAN bukan sekadar program bantuan, tetapi platform untuk rakyat berdikari membina pendapatan sendiri.
Beliau yang telah mengadakan pertemuan dengan peserta IPR-INSAN di beberapa negeri termasuk Kedah, Johor, dan Kuala Lumpur sebelum ini mendapati golongan sasar telah berjaya memanfaatkan inisiatif berkenaan.
Susulan kejayaan tersebut, Kementerian Ekonomi akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan untuk melanjutkan tempoh program IPR-INSAN selama dua tahun lagi bagi membuka peluang kepada lebih ramai rakyat menjana pendapatan. –AlHijrah Online