
ALOR SETAR: Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian tikam seorang wanita di dalam sebuah kereta di Kepala Batas, malam tadi, berjaya ditahan polis awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Syed Basri Syed Ali mengesahkan penahanan suspek berusia 32 tahun itu dan memaklumkan lelaki terbabit dijangka direman hari ini.
“Ya, suspek sudah berjaya ditangkap dan akan direman hari ini,” katanya seperti dilaporkan media tempatan, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.19 malam tadi, seorang wanita berusia 35 tahun cedera selepas dipercayai ditikam di bahagian kanan leher oleh seorang lelaki yang dikenalinya.
Kejadian berlaku di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas, ketika mangsa berada di dalam sebuah kereta jenis Mazda 3 bersama suspek.
“Mangsa dipercayai ditikam di bahagian leher sebelah kanan dan setakat ini kita tidak tahu lagi berapa tikaman kerana mangsa sedang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya.
Motif atau punca kejadian masih belum diketahui dan siasatan sedang dijalankan.
“Kita tidak tahu sejauh mana hubungan mereka tapi kita percaya mereka saling kenal mengenali kerana mereka naik kenderaan yang sama,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata. — AlHijrah Online