TAUFAN DANIEL, DUA RAKYAT MALAYSIA DI LIBYA SELAMAT

PUTRAJAYA: Tiada warganegara Malaysia dilaporkan terlibat dalam tragedi Taufan Daniel yang melanda timur Libya pada Ahad lalu yang telah mengorbankan lebih 8,000 mangsa setakat ini.

Wisma Putra memaklumkan dua warganegara Malaysia yang berada di Marsa El Brega telah dihubungi dan mereka telah disahkan selamat.

“Kementerian Luar sedang memantau perkembangan pasca Taufan Daniel yang melanda wilayah timur Libya pada Ahad lalu yang mana kejadian ini menyebabkan dua empangan di bandar Derna pecah dan mengakibatkan banjir besar sehingga mengorbankan lebih 8,000 nyawa manakala 10,000 lain masih hilang.

“Setakat 14 September 2023, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas akibat banjir yang melanda wilayah timur Libya ini. Dua rakyat Malaysia yang berada di Marsa El Brega sudah dapat dihubungi dan disahkan selamat,” katanya.

Tambah Wisma Putra susulan penutupan sementara Kedutaan Besar Malaysia di Libya sejak tahun 2014, rakyat Malaysia yang memerlukan khidmat nasihat di negara tersebut boleh menghubungi pejabat Kedutaan Besar Malaysia yang terdekat, iaitu pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah.

“Angka korban banjir itu dijangka akan terus meningkat mengambil kira usaha mencari dan menyelamat masih sedang giat dijalankan.

“Malaysia menzahirkan simpati dan takziah kepada semua mangsa serta keluarga yang terjejas akibat bencana yang melanda Libya,” kata kenyataan Wisma Putra.

–AlHijrah Online

Leave a Reply