Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

TEBUSAN TIDAK AKAN DIBEBASKAN SEBELUM JUMAAT – ISRAEL

DUNIA

TEBUSAN TIDAK AKAN DIBEBASKAN SEBELUM JUMAAT – ISRAEL

Pegawai Israel memberitahu wartawan sebelum ini, pusat media akan dibuka di Tel Aviv pada tengah hari Khamis untuk membuat liputan mengenai kepulangan tebusan.

Sumber gambar: AFP

BAITULMAQDIS: ‘Pemberhentian sementara perang’ tidak akan bermula sebelum Jumaat, walaupun Hamas dan pentadbiran Israel bersetuju untuk gencatan senjata.

Sebelum ini, ‘pemberhentian sementara perang’ disebut-sebut akan bermula pada Khamis, namun pegawai Israel memberitahu AFP bahawa pertempuran di antara Israel dan Hamas di Gaza tidak akan terhenti sebelum Jumaat.

Komen pegawai itu dikeluarkan sejurus selepas penasihat keselamatan negara, Tzachi Hanegbi memaklumkan bahawa tiada tebusan akan dibebaskan sebelum Jumaat.

“Permulaan pelepasan akan berlaku mengikut perjanjian asal di antara kedua-dua pihak, dan bukan sebelum Jumaat.”

Sebelum ini, perjanjian itu dipersetujui pentadbiran Israel pada Rabu untuk membebaskan tebusan yang ditahan Hamas dan menghentikan pengeboman oleh kedua-dua pihak.

Pegawai Israel memberitahu wartawan sebelum ini, pusat media akan dibuka di Tel Aviv pada tengah hari Khamis untuk membuat liputan mengenai kepulangan tebusan.

Hanegbi tidak memberikan butiran lanjut, dan pegawai Israel tidak serta-merta memberikan sebarang penjelasan untuk perkembangan itu.

Di bawah perjanjian itu, Israel dan Hamas bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama empat hari dengan pejuang Palestin akan membebaskan sekurang-kurangnya 50 tebusan, manakala Israel akan membebaskan sekurang-kurangnya 150 tahanan Palestin.

Perjanjian itu turut membenarkan lebih banyak bantuan kemanusiaan ke wilayah pantai, selepas lebih enam minggu pengeboman, pertempuran hebat dan pengepungan yang melumpuhkan ekonomi Semenanjung Gaza. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading