Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

TEGUR REMAJA BISING DEPAN RUMAH, DUA BERANAK DISERANG SEKUMPULAN LELAKI

DALAM NEGARA

TEGUR REMAJA BISING DEPAN RUMAH, DUA BERANAK DISERANG SEKUMPULAN LELAKI

Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada tindakan mangsa memulas telinga anak saudara seorang daripada suspek yang dipercayai menunggang motosikal sambil membuat bising di hadapan rumahnya.

PASIR PUTEH: Dua beranak cedera akibat diserang sekumpulan enam lelaki termasuk dua pelajar sekolah menengah yang bertindak samseng dalam kejadian pukul dan tetak di Kampung Wakaf Lanas, di sini, petang semalam.

Kejadian yang berlaku pada jam 5.15 petang itu menyebabkan bapa berusia 54 tahun cedera ringan, manakala anaknya berusia 22 tahun hampir putus jari kelingking akibat ditetak.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal, berkata ketika itu mangsa yang juga pesara berada di rumah dan didatangi sekumpulan lelaki dalam keadaan marah lalu menyerang dia dan anaknya menggunakan kayu, besi serta parang.

Ujarnya, serangan itu menyebabkan mangsa cedera di seluruh badan, manakala anaknya cedera di bahagian jari kelingking, jari tangan dan seluruh badan.

“Kejadian turut mencederakan seorang lagi iaitu abang ipar mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan tetapi dia dipukul menggunakan kayu.

“Mangsa memberitahu tidak mengenali suspek kerana mereka bukan berasal dari kampung itu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ediansha berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada tindakan mangsa memulas telinga anak saudara seorang daripada suspek yang dipercayai menunggang motosikal sambil membuat bising di hadapan rumahnya.

Beliau berkata, polis menahan anak saudara suspek yang juga pelajar tingkatan dua, selain seorang lagi suspek juga pelajar tingkatan lima yang terbabit dalam kejadian.

“Empat lagi lelaki berusia antara 29 hingga 41 tahun termasuk bapa saudara suspek masih diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Semua mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Anis, di sini, dan anak mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) bagi rawatan lanjut. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading