Connect with us

ALHIJRAH NEWS

TIADA ADUAN ATAU MASALAH SERIUS DI HARI PERTAMA BUDI DIESEL

DALAM NEGARA

TIADA ADUAN ATAU MASALAH SERIUS DI HARI PERTAMA BUDI DIESEL

Hampir 24,000 transaksi melibatkan pembelian hampir satu juta liter diesel bersubsidi bernilai RM2.1 juta direkodkan pada 27 Jun lalu pada harga RM2.15 seliter tanpa aduan atau masalah serius.

PUTRAJAYA: Pelaksanaan akses awal pembelian diesel bersubsidi melalui MyKad di bawah program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) bagi pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia berjalan lancar pada hari pertama tanpa sebarang aduan atau masalah serius.

Kementerian Kewangan memaklumkan, hampir 24,000 transaksi melibatkan pembelian hampir satu juta liter diesel bersubsidi bernilai RM2.1 juta direkodkan pada 27 Jun lalu pada harga RM2.15 seliter.

Pelaksanaan akses awal itu menjadi persediaan sebelum pelaksanaan penuh BUDI Diesel di seluruh negara bermula 1 Julai ini. Mulai tarikh tersebut, warganegara yang layak boleh membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menggunakan pengesahan MyKad.

Menurut kementerian itu, pembaharuan subsidi diesel dilaksanakan bagi memastikan bekalan diesel bersubsidi kekal mencukupi untuk rakyat dan sektor yang benar-benar memerlukan, di samping mengurangkan ketirisan serta memastikan subsidi disalurkan kepada kumpulan yang layak.

Bagi pemilik kenderaan diesel persendirian, subsidi disalurkan melalui BUDI Diesel menggunakan MyKad dengan had asas 200 liter sebulan. Pemilik pikap dan jip yang layak pula boleh memohon tambahan 100 liter sebulan, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan.

Setakat jam 11 pagi tadi, portal rasmi BUDI MADANI menerima lebih 13,000 permohonan baharu bagi tambahan 100 liter sebulan untuk pemilik pikap dan jip yang layak.

Bagi sektor pengangkutan awam, logistik dan kenderaan komersial yang layak, subsidi diesel terus disalurkan melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). KPDN turut menyelaras pelaksanaan subsidi bagi kenderaan persendirian milik syarikat jenis pikap dan jip yang layak selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 26 Jun lalu.

Kementerian Kewangan turut memaklumkan Kerajaan Persekutuan sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan untuk memuktamadkan data kumpulan pengguna lain yang bergantung kepada diesel, khususnya di kawasan luar bandar, pedalaman dan laluan sungai, supaya tiada golongan yang memerlukan tercicir daripada bantuan subsidi. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading