KUALA LUMPUR: Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu yang dilengkapi dengan 94 ciri keselamatan dijadual dilancarkan esok.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual melancarkan dokumen perjalanan itu di Lobi Parlimen.
Peningkatan terhadap PMA merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan negara, selaras dengan kedudukannya sebagai antara pasport paling berkuasa di dunia.
PMA baharu itu menampilkan peningkatan ketara berbanding versi sedia ada yang mempunyai 49 ciri keselamatan, sekali gus menjadikannya lebih sukar dipalsukan.
Antara penambahbaikan yang diperkenalkan ialah elemen hologram, cetakan ultraungu (UV), elemen visual tersembunyi serta beberapa ciri forensik khas.
Selain itu, elemen keselamatan turut diterapkan pada benang jahitan buku pasport, manakala setiap helaian muka surat direka dengan corak yang berbeza.
Awal tahun ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Malaysia akan memperkenalkan pasport dan MyKad berwajah baharu bagi memperkukuh aspek keselamatan data negara.
Pasport Malaysia Antarabangsa berada di tangga ketiga pada 2025 sebagai antara pasport paling berkuasa di dunia berdasarkan Ranking Pasport Index. — AlHijrah Online