Connect with us

ALHIJRAH NEWS

TIADA BUKTI PIRANA MEMBIAK DI EMPANGAN KLAU

DALAM NEGARA

TIADA BUKTI PIRANA MEMBIAK DI EMPANGAN KLAU

Jabatan Perikanan memaklumkan belum ada bukti menunjukkan ikan pirana telah membentuk populasi dan membiak di Empangan Klau selepas hanya seekor ikan disyaki spesies berkenaan dilaporkan ditangkap.

PUTRAJAYA: Jabatan Perikanan (DOF) memaklumkan belum terdapat bukti menunjukkan ikan pirana telah membentuk populasi dan membiak di Empangan Klau, Raub, Pahang, susulan penangkapan seekor ikan yang disyaki spesies berkenaan pada 26 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata setakat ini, hanya seekor ikan dilaporkan ditangkap di kawasan berkenaan.

Menurutnya, siasatan dan pemantauan lapangan oleh Pejabat Perikanan Negeri Pahang sehingga 15 September juga tidak merekodkan sebarang tangkapan tambahan atau insiden keselamatan berkaitan.

“Berdasarkan hasil penilaian teknikal Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi, Negeri Sembilan, terhadap gambar dan rakaman video ikan berkenaan, ciri-ciri morfologi yang dapat dilihat konsisten dengan genus Pygocentrus, iaitu kumpulan ikan pirana.

“Bagaimanapun, pengesahan muktamad sehingga ke peringkat spesies tidak dapat dibuat, kerana spesimen fizikal tidak tersedia untuk pemeriksaan lanjut. Ikan tersebut dilaporkan telah mati dan dibuang oleh individu yang menangkapnya sebelum siasatan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media sosial tular dengan dakwaan kewujudan pirana di Empangan Klau termasuk hantaran mendakwa ikan berkenaan memakan buaya, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan spesies asing itu berada di perairan berkenaan.

Susulan itu, Adnan mengingatkan orang ramai agar tidak panik dengan DOF akan terus melaksanakan pemantauan bersasar bagi mengenal pasti sebarang perkembangan baharu.

Beliau turut menegaskan pelepasan spesies ikan asing yang berpotensi menjadi invasif ke perairan umum merupakan tindakan tidak bertanggungjawab kerana boleh menjejaskan ekosistem perairan darat, populasi ikan tempatan dan kepelbagaian biologi akuatik.

“Pejabat Perikanan Negeri Pahang telah diarahkan meneruskan pemantauan berkala di Empangan Klau dan kawasan sekitarnya.

“Sekiranya terdapat tangkapan ikan yang disyaki sebagai ikan asing seperti ini, jangan lepaskan semula ke dalam air. Simpan spesimen tersebut jika masih dalam keadaan sesuai dan segera hubungi pejabat perikanan berhampiran bagi membolehkan pemeriksaan serta analisis lanjut, termasuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) jika diperlukan,” katanya.

DOF akan terus menjalankan pemantauan lapangan secara berkala di Empangan Klau dan kawasan sekitarnya, selain merekodkan sebarang maklumat atau tangkapan berkaitan.

Jabatan itu juga akan mempertingkatkan kesedaran awam mengenai risiko pelepasan spesies ikan asing atau invasif ke perairan umum.

Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi DOF dan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kekeliruan serta spekulasi. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading