TIADA DAGING KANGGARU, KUDA DAN BABI DIJUMPAI – KPDNHEP

KUALA LUMPUR: Tiada daging kuda, kanggaru atau babi dalam rampasan yang dilakukan sebuah gudang di Senai pada awal bulan ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PDNHEP), Datuk Rosol Wahid mengesahkan perkara tersebut setelah hasil laporan pensampelan yang dilakukan oleh Jabatan Kimia.

“Apa yang dimaklumkan kepada kita bahawa (kononnya) ada daging kanggaru, kuda daripada apa yang disita tersebut.

“Kita tidak pilih-pilih, kita hantar semua sekali kepada Jabatan Kimia dan mereka telah beri laporan kepada kita bahawa tidak ada daging kanggaru, kuda dan babi daripada apa yang kita sita tersebut,” katanya ketika menggulung perbahasan usul berkait isu kartel daging haram di Dewan Negara hari ini.

Rosol turut menegaskan setakat ini, sebanyak 53 negara dibenarkan mengeksport daging beku ke negara ini termasuk dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina.

Mengulas lanjut, Rosol memaklumkan kerajaan bersetuju dan menyokong penuh cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu penyeludupan daging yang menggunakan logo halal palsu.

Kerajaan juga memandang serius isu kartel daging haram yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.–AlHijrah Online

Leave a Reply