TIDAK PANDANG MUKA SEMASA BERSALAM PUNCA LELAKI DITAMPAR

MANJUNG: Hanya kerana tidak saling berpandangan semasa bersalam selepas bersolat di masjid, seorang lelaki ditampar di belakang kepala dalam satu video tular.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Ar Sappi berkata, mangsa berusia 30-an yang merupakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah bersalaman dengan jemaah lain selepas selesai menunaikan solat di Masjid An-Nur, Pengkalan TLDM Lumut.

“Tiba-tiba suspek telah menampar belakang kepala mangsa dan mengenai telinga sebelah kanan dengan kuat menyebabkan mangsa mengalami sakit di bahagian kepala dan telinga.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut berpunca kerana mangsa tidak memandang muka suspek semasa bersalaman menyebabkan suspek menjadi berang dan beranggapan bahawa mangsa bersikap kurang ajar dengan suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ujarnya, kedua-dua pihak telah dipanggil ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Manjung untuk dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

Bagaimanapun, mangsa dalam kes tersebut tidak mahu meneruskan siasatan dan telah menarik semula laporan polis.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai ‘no further action’ (NFA).

Pihaknya menyeru dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan tidak menularkan video tersebut kerena kes tersebut telah selesai. –AlHijrah Online

Leave a Reply