TOLAK MENOLAK, KEKECOHAN GARA-GARA JUALAN BAJU RAYA RM1

SHAH ALAM: Lebih 500 orang menyerbu sebuah kedai pakaian di Seksyen 7 di sini semalam, gara-gara promosi RM1 untuk sepasang baju raya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian sekitar jam 10.30 pagi selepas berlaku kekecohan di kedai tersebut.

“Difahamkan kedai pakaian berkenaan membuat promosi untuk 100 orang terawal untuk membeli pakaian pada harga RM1, manakala 50 orang berikutnya akan mendapat baju kurta percuma.

“Dianggarkan lebih 500 orang membanjiri kedai berkenaan untuk mendapatkan harga promosi (RM1) itu sehingga berlaku tolak menolak dan kekecohan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Atas faktor keselamatan, Mohd Iqbal berkata pihak pengurusan kedai bersetuju menghentikan operasi pada jam 11.45 pagi kerana tidak dapat mengawal bilangan pengunjung yang hadir.

Bagaimanapun setakat ini tiada sebarang laporan polis dibuat mana-mana pihak berhubung kejadian itu dan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlalu mudah terpengaruh dengan mana-mana promosi yang dibuat pada musim perayaan ini.

“Pihak peniaga hendaklah sentiasa peka dan elakkan membuat promosi yang boleh mengelirukan orang ramai bagi mengelakkan kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” katanya.

Sebelum ini tular beberapa video dan gambar menunjukkan sebuah kedai pakaian di Seksyen 7 dipenuhi orang ramai bagi mendapatkan pakaian hari raya dengan harga promosi sebelum kekecohan berlaku dalam kedai tersebut.—AlHijrah Online

Leave a Reply