
Kuala Lumpur: Pramugara Malaysia Airlines yang popular menerusi video layanan mesranya terhadap penumpang dan jemaah haji, Hafeez Al Bukhary Zulkefly, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat kanser.
Perkembangan itu dimaklumkan oleh sepupunya, Hani Mishan menerusi satu hantaran di Threads pada Rabu.
“Sepupu saya kini berada dalam keadaan kritikal dan sudah dibawa pulang ke kampungnya di Perak.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar dia sembuh daripada kanser,” tulisnya.
Penyanyi dan pengacara podcast Borak Dalam Galley (BDG), Zarul Umbrella turut berkongsi perkembangan mengenai Hafeez menerusi satu hantaran di Threads pada Khamis.
“Baru sahaja menerima perkhabaran duka, rakan kami Hafeez yang pernah muncul dalam podcast BDG sebelum ini berada dalam keadaan kritikal.
“Saya dan pasukan BDG berharap sesiapa yang membaca hantaran ini dapat mendoakan kesembuhan Hafeez,” tulisnya.
Sebelum ini, menerusi satu hantaran di Instagram pada 27 Ogos 2025, Hafeez mendedahkan beliau disahkan menghidap kanser kolon (usus) tahap empat.
Hafeez yang mempunyai hampir 300,000 pengikut di TikTok dikenali kerana sering berkongsi video mengenai tugasnya sebagai pramugara, termasuk layanan mesra terhadap penumpang dan jemaah haji yang menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS). — AlHijrah Online.