TUNJUK KEMALUAN KEPADA GURU, PENGANGGUR INDONESIA DIPENJARA 14 BULAN
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Padah menunjukkan kemaluan kepada seorang guru wanita, seorang penganggur warganegara Indonesia dihukum penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini, hari ini.
Majistret Mohamad Izwan Mohamed Nor menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Salam Rohim, 33 tahun, selepas dia mengaku bersalah dengan niat hendak mengaibkan kehormatan wanita berumur 35 tahun itu dengan cara menunjukkan kemaluan dalam keadaan seluar terlondeh paras paha kepada mangsa sehingga mengganggu kesantunannya.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 29 Mei lepas. Salam didakwa melakukan kesalahan itu di bahagian tangga ke tingkat 1, di sebuah flat, di Jalan AU3/34, Taman Keramat, Hulu Kelang, di sini pada 10.50 malam, 25 Mei lepas. Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang baharu sahaja sampai ke kawasan rumah ternampak seorang lelaki memakai baju T dan berseluar pendek sedang mengintainya berhampiran tangga.
Mangsa terus menaiki tangga dan ketika mahu membuka pintu rumah, dia terdengar bunyi kucing dan apabila menoleh ke belakang, mangsa melihat tertuduh berdiri berhampiran, dengan seluar pendeknya telah terlondeh.
Wanita itu terus masuk ke rumah dan menghubungi polis. Ketika rayuan lelaki itu yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara kerana tidak mempunyai sesiapa untuk membayar denda.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran kerana tertuduh telah menyalah guna pas lawatan sosial ke negara ini dengan melakukan kes jenayah selain telah menyebabkan trauma kepada mangsa.
BERNAMA