Connect with us

ALHIJRAH NEWS

TV ALHIJRAH PERKUKUH TATAKELOLA WAKAF MEDIA DEMI MENJUNJUNG AMANAH PEWAKAF

DALAM NEGARA

TV ALHIJRAH PERKUKUH TATAKELOLA WAKAF MEDIA DEMI MENJUNJUNG AMANAH PEWAKAF

TV AlHijrah memperkukuh tatakelola Wakaf Media bagi memastikan amanah dan sumbangan pewakaf diurus secara telus, berintegriti, patuh syariah serta boleh dipertanggungjawabkan.

PUTRAJAYA: TV AlHijrah terus memperkukuh tatakelola Wakaf Media bagi memastikan setiap sumbangan dan amanah pewakaf diurus secara telus, berintegriti serta mematuhi prinsip syariah.

Komitmen itu diterjemahkan menerusi Taklimat Piawaian Perakaunan Islam bagi Baitulmal, Zakat dan Wakaf (PPIBZW), antara inisiatif Wakaf Media di bawah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah.

Program selama dua hari bermula 7 Oktober itu menghimpunkan barisan Ketua Jabatan (HOD) dan Ketua Unit (HOU) TV AlHijrah bagi menyelaraskan kefahaman mengenai pengurusan, pematuhan serta tanggungjawab dalam pelaksanaan Wakaf Media.

Taklimat yang berlangsung pada 7 hingga 8 Oktober di Hotel Dorsett, Putrajaya itu dikendalikan Ketua Penolong Pengarah WA13 (KUP), Unit Perkhidmatan Piawaian Perakaunan, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Naharriah Mohamed.

Penganjurannya memberi penekanan bahawa pengurusan Wakaf Media bukan hanya melibatkan kempen dan kutipan sumbangan, malah menuntut pengurusan kewangan, pelaporan serta akauntabiliti yang teratur dalam menjaga amanah pewakaf.

PPIBZW dibangunkan bagi menyeragamkan pembentangan pelaporan kewangan dan perekodan transaksi berkaitan aset termasuk aset wakaf, liabiliti, hasil serta belanja.

Melalui taklimat itu, barisan pengurusan TV AlHijrah turut diberi pendedahan mengenai pembentangan penyata kewangan, pengurusan aset dan sumbangan pewakaf serta kaedah pelaporan berkaitan wakaf.

Kerangka PPIBZW turut menekankan akauntabiliti kepada Allah dan manusia, selain pengasingan dana serta pengolahan perakaunan berasaskan syariah dan fatwa.

Keseragaman kefahaman dalam kalangan HOD dan HOU diharap dapat memastikan setiap keputusan serta pelaksanaan berkaitan Wakaf Media dibuat secara lebih jelas, tersusun dan berstruktur.

Taklimat berkenaan turut menyentuh cabaran dalam pemakaian PPIBZW termasuk tahap kompetensi modal insan dalam perakaunan bagi memenuhi keperluan syariah, batas perundangan, pengurusan perubahan serta perubahan sistem dan amalan perakaunan.

Inisiatif itu merupakan sebahagian usaha berterusan TV AlHijrah membangunkan ekosistem Wakaf Media yang lebih tersusun dan mampan, sekali gus memastikan amanah masyarakat diurus berlandaskan ilmu, ketelusan serta tatakelola yang baik. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading