Connect with us

ALHIJRAH NEWS

“WANG CUKAI KITA BIAYAI JENAYAH PERANG,” DATUK BANDAR NEW YORK KECAM AS

UTAMA

“WANG CUKAI KITA BIAYAI JENAYAH PERANG,” DATUK BANDAR NEW YORK KECAM AS

Datuk Bandar New York Zohran Mamdani menyoroti pembabitan Amerika Syarikat dalam genosid di Gaza serta mengkritik penghantaran senjata yang menurutnya terus menyumbang kepada penderitaan rakyat Palestin.

HAMILTON: Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani menyoroti “pembabitan” Amerika Syarikat (AS) dalam genosid di Semenanjung Gaza sempena ulang tahun ketiga serangan 7 Oktober 2023.

Mamdani berkata, penderitaan akibat konflik itu tidak bermula atau berakhir pada tarikh berkenaan sambil merujuk kepada genosid Israel di Gaza yang mengorbankan lebih 74,000 rakyat Palestin termasuk lebih 21,000 kanak-kanak.

“Hari ini amat menyakitkan bagi ramai warga New York,” kata Mamdani dalam satu hantaran di platform media sosial X.

“Kami berkongsi kesedihan bersama ramai rakan dan jiran yang masih menanggung kehilangan yang tidak terbayangkan itu.”

Beliau turut menegaskan bahawa rakyat AS perlu sedar wang cukai mereka digunakan dalam konflik berkenaan.

“Ramai warga New York sedang bergelut menghadapi kesedihan yang tidak tertanggung ini dan kita berkabung bersama mereka namun kita sedar wang cukai kita juga yang membiayai jenayah perang ini,” katanya.

Mamdani turut menggesa masyarakat menolak “dunia yang membolehkan pendudukan dan apartheid berterusan” selain mengkritik Kerajaan AS kerana “terlibat dalam setiap penghantaran senjata”.

“Untuk menghormati mereka yang meninggal dunia, kita mesti memperjuangkan dunia di mana setiap insan boleh hidup dengan kebebasan, keselamatan dan maruah,” katanya.

Susulan peristiwa 7 Oktober 2023, Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza yang turut menyebabkan 175,000 orang cedera dan menjadikan wilayah itu hampir musnah.

Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober 2025, Israel dilaporkan terus melancarkan serangan setiap hari ke atas Gaza yang mengorbankan lebih 1,400 rakyat Palestin serta mencederakan hampir 5,000 orang, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top