
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengadakan sesi libat urus bersama penyedia platform e-dagang serta agensi kerajaan bagi memperkukuh perlindungan pengguna dan keselamatan ekosistem e-dagang negara.
Sesi yang berlangsung pada Rabu itu diadakan susulan kebimbangan awam mengenai keselamatan pengguna dan pematuhan undang-undang, selaras dengan penekanan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil terhadap keperluan memperkukuh kawal selia secara bersama.
MCMC dalam kenyataan pada 7 Oktober memaklumkan, platform e-dagang perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan identiti penjual disahkan dan produk yang dipasarkan memenuhi ketetapan undang-undang.
“Platform juga perlu meningkatkan pemantauan dan penggunaan teknologi bagi mengesan serta mengambil tindakan pantas terhadap penyenaraian barangan terlarang, berbahaya atau tidak mematuhi undang-undang,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, perbincangan turut mengambil kira maklum balas perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor peruncitan berhubung kesan perkembangan e-dagang terhadap perniagaan fizikal, termasuk implikasinya kepada industri kurier.
MCMC turut menekankan keperluan kerjasama lebih tersusun antara penyedia platform dan agensi kerajaan bagi membolehkan siasatan serta tindakan penguatkuasaan dilaksanakan mengikut bidang kuasa masing-masing.
Antara penyedia platform yang terlibat dalam sesi itu ialah Shopee Malaysia, TikTok Shop, Lazada Malaysia/Alibaba, Grab, Facebook Marketplace, Pinduoduo dan SHEIN.
MCMC akan meneruskan penyelarasan bersama kementerian, agensi kerajaan dan pihak industri bagi memperkukuh perlindungan pengguna, pematuhan undang-undang serta akauntabiliti platform ke arah ekosistem e-dagang yang lebih selamat dan dipercayai. — AlHijrah Online