
PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedang mendapatkan maklumat serta perkembangan terkini berhubung penahanan 288 individu yang dikaitkan dengan jemaah Ahmadiyah Qadiani di Sabah pada 31 Mei lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, beliau perlu mendapatkan maklumat terlebih dahulu sebelum memberikan perkembangan lanjut mengenai kes berkenaan.
“Nanti kita ambil maklum tentang pembaharuan (kes itu), setakat mana perkembangan kes tersebut sebab ini soalan baharu. Saya kena siasat dahulu dan dapatkan maklumat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Majlis Sama’ Jami’ al-Tirmizi dan al-Syamail al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di sini hari ini ketika diminta mengulas status penahanan individu terbabit serta tindakan terhadap ajaran Ahmadiyah Qadiani.
Sebelum ini, seramai 300 individu termasuk 12 pemimpin dan penganjur utama kumpulan ajaran sesat ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sabah.
Susulan itu, Zulkifli dilaporkan berkata kerajaan memperkukuh kerjasama rentas agensi menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan bagi membendung penularan ajaran sesat yang semakin banyak berlaku melalui platform digital dan merentasi sempadan. — AlHijrah Online